Apr 29, 2009

Selesema Babi @ Swine Flu

Ermm..kisah selesama dtg lagi,pas selesema burung dtg plak selesema babi..aduii!fenim fenim..mudah-mudahan kita dijauhi dr penyakit ni..Amin

Petikan dr PutraWangsa.."Sehingga 26 April 2009, mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia(WHO) bertarikh 26 April 2009 berkaitan kejadian `influenza-like illness, terdapat 20 kes yang disahkan di Amerika Syarikat iaitu 8 di New York, 7 California, 2 Texas, 2 Kansas dan 1 di Ohio. Tiada kematian dilaporkan di Amerika Syarikat.

Sementara itu di Mexico jumlah kes yang dilaporkan adalah 1,149 dengan 71 kematian dan 18 kes adalah disahkan disebabkan oleh swine influenza A/H1N1. Negara Kanada melaporkan 4 kes yang disahkan swine influenza A/H1N1 dan tiada kematian. Menurut laporan daripada WHO, kecuali di Mexico, kebanyakan kes yang dilaporkan mengidap tanda-tanda ringan jangkitan `influenza-like illness . Tiada kes dilaporkan di lain-lain negara.

Di Malaysia buat masa ini tiada kes yang berkaitan dengan `influenza-like illness dilaporkan. Seperti yang dimaklumkan pada 26 April 2009, Kementerian Kesihatan telah pun mengambil tindakan-tindakan persediaan yang seperti berikut:

  1. Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia mengaktifkan Bilik Gerakan untuk membuat pemantauan situasi wabak swine-flu dengan pihak WHO bagi memastikan tindakan-tindakan proaktif diambil untuk melindungi kesihatan awam penduduk Malaysia.
  2. Semua Pengamal Perubatan termasuk di sektor swasta yang merawat kes-kes yang mempunyai tanda-tanda atau gejala ‘influenza-like illness’ atau ‘severe pneumonia’ dan mempunyai sejarah melawat Mexico, California, Kansas, Ohio, Texas, New York atau Kanada selepas 17 April 2009 diminta untuk memaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat dengan serta merta melalui telefon untuk tindakan pencegahan dan kawalan.
  3. Saringan tanda-tanda jangkitan swine-flu di semua pintu masuk negara untuk pelawat atau warga Malaysia yang ada melawat ke negara Mexico, California, Kansas, Ohio, Texas, New York atau Kanada selepas 17 April 2009.
  4. Membuat kenyataan akhbar dari masa ke semasa situasi wabak swine-flu untuk maklumat orang awam di Malaysia dan langkah kawalan dan pencegahan yang diambil oleh Kerajaan.
Orang awam yang ingin mendapat maklumat lanjut berkaitan dengan wabak swine-flu ini boleh mendapatkan maklumat tersebut melalui talian 03-88810200 atau 03-88810300 pada waktu pejabat atau di laman web Kementerian (www.moh.gov.my).

Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan bahawa orang awam tidak perlu risau dengan situasi yang berlaku di negara Mexico, Kanada dan Amerika Syarikat kerana pihak berkuasa di negara berkenaan bersama dengan pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia(WHO) telah mengambil langkah-langkah pencegahan dan kawalan wabak ini daripada menular keluar negara.

Negara kita juga telah mempunyai pelan strategi untuk menghadapi kemungkinan penularan wabak influenza (National Influenza Pandemic Preparedness Plan). Tindakan kolaborasi dan kerjasama perkongsian maklumat dan langkah-langkah pencegahan serta kawalan sedang diambil oleh Kementerian Kesihatan dengan pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia, dan orang awam akan dimaklumkan situasi ini dari masa ke semasa dan diminta mematuhi nasihat-nasihat yang diberikan oleh Kerajaan.

Sehingga kini, pihak WHO memaklumkan bahawa TIADA sebarang tindakan sekatan dari segi kesihatan, perjalanan, dan perdagangan yang perlu dilakukan oleh setiap negara bagi perlindungan kesihatan antarabangsa susulan daripada kejadian ini.

Sumber : Kenyataan Akhbar Menteri Kesihatan Malaysia pada 27 April 2009"

No comments:

Post a Comment